LAMAN ILMU
Monday 16 March 2015
RUKUN IMAN
Mukaddimah
Rukun Iman adalah asas dan sendi kepercayaan kita kepada agama Islam yang kita anuti. Dengan mempercayai apa yang diwajibkan kepada kita, maka baharulah dinamakan kita beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, di dalam Islam ada perkara-perkara yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar tetapi wajib dipercayai dengan sepenuh hati. Ia adalah perkara-perkara samiyyat (yang hanya didengar). Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran pada awal surah al-Baqarah, ayat 3:
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
“Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Oleh itu, seseorang yang tidak meyakini akan perkara-perkara ghaib di dalam Islam, maka mereka sebenarnya tidak beriman kepada al-Quran dan selanjutnya mereka tidak beriman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan pastinya mereka tidak beriman kepada Allah SWT yang mewahyukan al-Quran itu.
Natijah daripada keimanan kepada yang ghaib ini sangat penting, iaitu menjadikan muslim itu sentiasa berwaspada dalam kehidupannya. Ini kerana, setiap perbuatannya di atas dunia ada implikasinya di akhirat, iaitu sama ada akan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT ataupun dicampakkan ke dalam neraka, wal’iyazubillah!
Rukun iman ada enam perkara:
1. Beriman kepada Allah SWT
Beriman kepada Allah SWT bermaksud, seseorang itu wajib mengenali Allah yang disembahnya dan meyakini bahawa Allah itu wujud, Allah yang menciptakan alam ini dan sebagainya lagi. Muslim juga wajib mengimani apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia dan seluruh alam ini walaupun ia kelihatan tidak rasional pada akal fikiran manusia. Atas alasan inilah, seorang muslim wajib mempelajari ilmu usul, tauhid atau akidah bagi menetapkan keyakinannya kepada Allah SWT. Ilmu inilah yang lebih dikenali dengan nama Sifat 20, yakni mengetahui dengan tafsil 20 sifat yang wajib bagi Allah SWT. Alangkah aibnya jika mengaku beriman kepada Allah SWT tetapi tidak mengenali Allah SWT.
2. Beriman kepada para malaikat
Malaikat dijadikan Allah SWT sebagai makhluk yang taat kepada perintah-perintah-Nya. Ada sepuluh nama malaikat dan tugasnya yang harus kita ketahui iaitu, Jibril yang menyampaikan wahyu; Mikail iaitu penurun rezeki; Israfil, iaitu peniup sangkakala atau terompet pada hari kiamat; Izrail iaitu pencabut nyawa makhluk; Raqib dan Atid, iaitu malaikat kiraman katibin yang mencatat amalan baik dan jahat manusia; Munkar dan Nankir, iaitu dua malaikat yang ditugaskan Allah SWT bagi menanyakan soalan di alam barzakh dan dua malaikat terakhir, iaitu Malik dan Ridzwan yang ditugaskan menjaga Neraka dan Syurga.
3. Beriman kepada kitab-kitab
Kitab-kitab ini bermaksud, apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada rasul-rasul-Nya yang menjadi panduan atau syariat dalam kehidupan. Ada empat buah kitab yang harus kita ketahui, iaitu Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s; Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s; Injil diturunkan kepada Nabi Isa a.s dan terakhir al-Quran yang dittitipkan kepada Nabi Muhammad saw. Di samping kitab-kitab, turut diturunkan kepada beberapa nabi ialah suhuf-suhuf yang berupa keterangan ringkas mengenai hukum-hakam atau sesuatu syariat. Misalnya suhuf yang diberikan kepada Nabi Ibrahim.
4. Beriman kepada para rasul
Para rasul diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai penunjuk jalan keselamatan. Mereka membimbing manusia daripada penyembahan yang salah, misalnya menyembah berhala atau sesama makhluk kepada menyembah Allah yang Maha Esa, dan seterusnya menjadi model kehidupan bagi seluruh umatnya. Sebab itulah Allah SWT mengutuskan para rasul ini daripada kalangan manusia agar mereka mampu ditauladani serba-serbi dalam sebarang aspek kehidupan. Terdapat 25 orang nabi lagi rasul yang wajib diimani oleh seorang muslim, iaitu:
- Nabi Adam a.s.
- Nabi Idris a.s.
- Nabi Nuh a.s.
- Nabi Hud a.s.
- Nabi Salih a.s.
- Nabi Ibrahim a.s.
- Nabi Luth a.s. (anak saudara Nabi Ibrahim a.s)
- Nabi Ismail a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
- Nabi Ishaq a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
- Nabi Ya’akub a.s.
- Nabi Yusuf a.s. (anak Nabi Ya’akub a.s.)
- Nabi Ayub a.s.
- Nabi Syu’aib a.s.
- Nabi Musa a.s.
- Nabi Harun a.s. (saudara Nabi Musa a.s.)
- Nabi Zulkifli a.s.
- Nabi Daud a.s.
- Nabi Sulaiman a.s. (anak Nabi Daud a.s.)
- Nabi Ilyas a.s.
- Nabi Ilyasa’ a.s.
- Nabi Yunus a.s.
- Nabi Zakaria a.s.
- Nabi Yahya a.s. (anak Nabi Zakaria a.s. & duapupu kepada Nabi Isa a.s)
- Nabi Isa a.s.
- Nabi Muhammad s.a.w.
5. Beriman kepada hari akhirat
Hari Akhirat adalah suatu hari di mana semua manusia akan dikumpulkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar. Tujuannya, semua manusia akan dihadapkan ke mahkamah Allah SWT dan diadili segala amal perbuatannya di atas dunia ini. Di dalam mahkamah Allah SWT itulah, manusia akan diberikan kitab atau buku yang semasa di dunia dahulu ditulis oleh Malaikat Kiraman Katibin (Raqib dan ‘Atid) dan seluruh anggota tubuhnya sendiri menjadi saksi amal perbuatannya di dunia dahulu. Amal perbuatan manusia juga akan ditimbang atas timbangan al-Mizan. Kemudian, kita semua akan melalui satu jambatan yang dikenali titian sirat al-mustaqim (titian yang lurus) sebelum dapat masuk ke syurga Allah SWT. Mana-mana manusia yang amal jahatnya melebihi amal kebaikan atau tidak beriman kepada Allah SWT, maka mereka tidak akan berjaya melintasi neraka dan akan terjatuh ke dalam neraka bagi menerima azab di atas kelalaian mereka di dunia. Manusia yang selamat melintasi titian itu akan masuk ke dalam syurga Allah SWT yang penuh kenikmatan sebagai ganjaran di atas keimanan dan ketakwaan mereka di atas dunia dahulu. Semua manusia akan melalui proses ini tanpa kecuali, hatta mereka seorang nabi atau rasul.
6. Beriman kepada qada’ dan qadar
Qada’ dan qadar bermaksud, seluruh kehidupan manusia dan perjalanan alam di atas muka bumi ini hakikatnya sudah ditentukan dan termaklum dalam ilmu Allah SWT. Apa yang akan terjadi sesaat daripada ini adalah di dalam ilmu Allah SWT. Ia bermaksud, kita hanya perlu berusaha dan hasilnya Allah SWT yang memberikannya, kerana ia adalah dalam pengetahuan Allah SWT dan Allah SWT sendirilah yang berhak menentukan akhir sesuatu perkara. Sungguh pun Allah SWT sudah tahu apa yang akan terjadi, namun sebagai manusia kita wajib berusaha ke arah kebaikan, diiringi dengan doa bersungguh-sungguh dan di akhirnya bertawakkal kepada Allah SWT, agar kesudahannya kelak beroleh kebaikan. Inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dan ditegaskan lagi oleh Baginda Muhammad SAW: “Tidak tertolak qada’ itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmidzi daripada Salman al-Farisi r.a)
Di samping itu, ulamak membahagikan qada’ itu sendiri kepada dua, iaitu qada’ mubram dan qada’ muallaq. Qada’ mubram adalah seuatu yang tetap akan berlaku dan tidak boleh ditolak, misalnya orang muda akan menjadi tua, setiap yang hidup pasti akan mati. Manakala, qada’ muallaq ialah sesuatu yang dapat ditolak dengan doa atau dengan berbuat kebajikan, misalnya bersedekah yang menolak musibah, sebagaimana yang dicatatkan di atas.
Berikut dipetik daripada sebuah artikelhttp://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/98/doa-perlu-disertai-usaha bagi menerangkan lebih rinci tentang maksud di atas.
Kata Imam al-Ghazali: “Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada’ (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada’ juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”
Pengarang kitab Bahr al-Madzi membawakan masalah qada’ mubram dan qada’ muallaq mengenai makna kedua-dua jenis qada’ itu dan hubungannya dengan doa: “(Kata ulama) qada’ mubram itu ialah suatu yang ditentukan Allah di dalam ilmunya, tidak boleh diubah dan tidak boleh ditukarnya dan qada’ muallaq itu seperti suatu perkara yang berta’liq sekiranya engkau berdoa nescaya diperkenankan apa-apa doamu dan sekiranya engkau berbuat bakti dan silaturrahim nescaya dipanjangkan umurmu dan sekiranya tiada diperbuatkan bakti dan tiada berdoa, tiadalah diperkenankan dan ditambah umur dan bertentang dengan barang yang di dalam ilmu-Nya. Maka qada’ muallaq itulah yang ditolak oleh doa.” (Lihat Bahr Al-Madzi 13-14/196)
Wallahua’lam.
Friday 26 December 2014
MAAFKAN AKU YA ALLAH
In the name of Allah, Most Gracious Most Merciful
Bismillahirahmanirahim...
Saat kau bangun di pagi hari
AKU memandangmu dan berharap engkau berbicara kepadaKU
walaupun hanya sepatah kata meminta pendapatKU
atau bersyukur keatas KU atas sesuatu hal yang indah
yang terjadi hari ini atau kelmarin
Tetapi AKU melihat engkau begitu sibuk
mempersiapkan diri untuk ke sekolah
AKU kembali menanti saat kau sedang bersiap
AKU tahu akan ada sedikit waktu bagimu
untuk berhenti dan menyapaKU...
Tetapi engkau terlalu sibuk
Disatu tempat,
engkau duduk di sebuah kerusi tanpa melakukan apapun
Kemudian AKU melihat engkau menggerakkan tanganmu
AKU fikir engkau akan berbiacara kepadaKU
tetapi engkau menelefon seorang teman untuk mendengar gosip baru
AKU melihat ketika engkau pergi ke sekolah
dan AKU menantimu dengan sabar sepanjang hari
Dengan semua kegiatanmu
AKU sangka engkau terlalu sibuk untuk mengucapkan sesuatu padaKU
Sebelum sarapan AKu melihatmu memandang ke sekeliling
mungkin engkau merasa malu untuk berbicara padaKU
itulah sebabnya engkau tidak menundukkan kepalamu
Ya,tidak mengapa
masih ada waktu yang tersisa
dan AKU berharap engkau akan berbicara kepadaKU
meskipun saat kau pulang seperti banyak perkara yang perlu diselesaikan
Namun setelah tugasmu selesai
kau pergi menghadap laptop dan menghabiskan banyak waktu didepannya
tanpa memikirkan apapun kau seronok berchatting dengan teman
Kembali AKU menanti dengan sabar
tetapi kembali kau tidak berbicara kepadaKU
Saat tidur AKU fikir kau terlalu penat
Setelah mengucapkan selamat malam kepada teman
kau melompat ke dalam selimut
dan tertidur tanpa sepatahpun namaKU disebut
mungkin kerana engkau terlupa hari ini
Tidak apa-apa
kerana mungkin engkau tidak menyedari
bahawa AKU selalu hadir untukmu
percayalah AKU selalu mengasihimu
dan AKU tetap berharap suatu saat
engkau akan menyapaKU
mohon perlindunganKU
dan bersujud menghadapKU
Yang selalu meyertaimu setiap saat
-ALLAH SWT-
Saat tidur AKU fikir kau terlalu penat
Setelah mengucapkan selamat malam kepada teman
kau melompat ke dalam selimut
dan tertidur tanpa sepatahpun namaKU disebut
mungkin kerana engkau terlupa hari ini
Tidak apa-apa
kerana mungkin engkau tidak menyedari
bahawa AKU selalu hadir untukmu
percayalah AKU selalu mengasihimu
dan AKU tetap berharap suatu saat
engkau akan menyapaKU
mohon perlindunganKU
dan bersujud menghadapKU
Yang selalu meyertaimu setiap saat
-ALLAH SWT-
pinjamkan aku kekuatan untuk terus sujud mengingatiMU
Subscribe to:
Posts (Atom)